06 Februari 2013

Biasiswa

Assalamualaikum semua.

Sedang saya bertweet dengan rakan-rakan. Tiba-tiba, muncul isu JPA (Jabatan Perkhidmatan Awan) kini tidak lagi mengeluarkan biasiswa kepada rakyat Malaysia. Memandangkan isu ini juga mungkin akan mencetuskan polemik dalam kalangan pelajar, saya telah mencari beberapa artikel berkaitan biasiswa JPA.

Menurut laman web JPA, JPA menawarkan beberapa tajaan kepada para pelajar seperti:
1. Biasiswa Yang Di-Pertuan Agong
2. Program Pelajar Cemerlang
3. Program Penajaan ke Universiti Perdana
4. Program Ijazah Dalam Negara
5. Program Kejuruteraan di Negara Bukan Berbahasa Inggeris
6. Program Biasiswa Politeknik.

Selain itu, JPA juga menyediakan kemudaha pinjaman pelajaran kepada pelajar seperti Skim Yuran Pengajian Luar Negara. Perbezaan biasiswa dan pinjaman adalah seperti berikut:

Biasiswa - Pelajar yang menerima penajaan dalam bentuk biasiswa dikehendaki berkhidmat dengan kerajaan untuk suatu tempoh yang dipersetujui dan mereka boleh dilepaskan dari ikatan kontrak sekiranya kerajaan tidak dapat menyediakan kerja dalam tempoh 12 bulan selepas pelajar melaporkan diri di JPA atau mereka membayar ganti rugi kepada kerajaan mengikut jumlah yang ditetapkan dalam perjanjian.

Pinjaman - Kemudahan pinjaman pelajaran disediakan bagi pengajian di luar negara sahaja. Pelajar yang menerima pinjaman dikehendaki membayar balik jumlah pinjaman sebenar mereka selepas menamatkan pengajian. Bayaran boleh dibuat secara ansuran dan pinjaman ini tidak dikenakan sebarang faedah.

*Untuk maklumat lanjut mengenai biasiswa dan pinjaman JPA: http://www.jpa.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=1443:kemudahan-penajaan-dan-pinjaman-bagi-pelajar&catid=59

Biasiswa JPA berbeza dengan Biasiswa Nasional. Biasiswa Nasional ialah biasiswa yang diberikan oleh kerajaan, juga melalui JPA kepada 50 pelajar terbaik Malaysia dalam SPM. Mengenai isu biasiswa JPA yang kini tidak ditawarkan kepada umum, sebenarnya JPA kini tidak memberi penajaan kepada mana-mana pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan dengan alasan kerajaan telah mengatakan bahawa doktor di Malaysia telah pun cukup. Dan MARA juga menghentikan pemberian biasiswa kepada pelajar perubatan dengan alasan yang sama.

Walau bagaimanapun, pemberian biasiswa untuk para pelajar sering berbeza dari tahun ke tahun. Hal ini demikian kerana, penaja-penaja akan mengambil langkah selamat untuk menaja pelajar-pelajar yang dikehendaki. Saya difahamkan, dulu penaja-penaja memberikan biasiswa dengan melihat keputusan SPM pelajar. Namun kini, melihat kepada trend semakin ramai pelajar yang pandai, penaja-penaja akan menaja mereka ke mana-mana pusat persediaan dan sekiranya mereka mencapai keputusan yang diingini, baru biasiswa akan diberikan seterusnya pelajar tersebut dapat belajar di luar negara ataupun di dalam negara. Tetapi, sekiranya pelajar tersebut kandas di pusat persediaan, sesetengah penaja akan meminta gantirugi dan sesetengah penaja yang lain akan memberikan peluang kedua kepada mereka.

Hakikatnya, pemberian biasiswa kepada pelajar bukanlah mudah. Mereka perlu menapis pelajar yang ingin mendapatkan biasiswa mereka supaya tidak merugikan mereka di kemudian hari. Situasi ini bertambah teruk dengan ibu bapa yang pendapatan sebulannya mencecah RM 30000, tetapi ingin mendapatkan biasiswa. Saya difahamkan, sekiranya lepasan SPM gagal mendapat A+ untuk matapelajaran Sejarah, JPA tidak akan melayan permohonan mereka untuk mendapatkan biasiswa JPA.

Setelah mendapat biasiswa, para pelajar perlu ingat, pemberian biasiswa itu merupakan amanah dari penaja mereka. Sekiranya pelajar tersebut tidak dipercayai oleh penaja mereka, mustahil mereka akan memberikan biasiswa kepada pelajar tersebut. Akhirulkalam, biasiswa bukanlah mudah untuk didapati, hargailah ia apabila sudah menerimanya.

Tiada ulasan:

Pengikut

Powered By Blogger