Assalamualaikum semua.
Seperti semua sedia maklum, SPM 2012 telah dijalankan mulai 5 November 2012-6 Disember 2012. Menurut Lembaga Peperiksaan Malaysia, jumlah calon SPM 2012 ialah seramai 472541 calon yang akan menjawab di 3590 pusat peperiksaan di seluruh negara. Calon-calon SPM 2012 ini terdiri daripada calon sekolah kerajaan, bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan seramai 415,530 calon, manakala 7,708 calon daripada sekolah di bawah agensi kerajaan selain kementerian dan 7,946 calon daripada sekolah menengah agama negeri. Selain itu, seramai 11,309 calon sekolah swasta yang berdaftar dengan kementerian, 28,148 calon sekolah menengah agama rakyat dan 1,900 calon persendirian akan turut menduduki SPM 2012.
Setelah SPM berlalu, saat menanti keputusan merupakan saat yang agak mendebarkan. Ketika menunggu keputusan tersebut, ada dalam kalangan calon SPM 2012 yang bekerja secara sambilan, menjalani PLKN mahupun duduk di rumah sahaja. Namun, wujud khabar angin dalam media sosial seperti Facebook dan Twitter mengenai tarikh sebenar keputusan SPM akan dikeluarkan. Ada yang mengatakan keputusan SPM akan keluar pada bulan Januari. Malangnya, kita kini di bulan Februari dan ternyata, itu hanya khabar angin.
Ada juga yang mengatakan, keputusan SPM akan keluar pada bulan Februari bagi memudahkan pelajar Tingkatan 6 menghabiskan silibus dengan lebih awal. Memandangkan Pilihan Raya Umum ke-13 yang semakin hampir, ada yang mengandaikan keputusan SPM akan keluar awal bagi memudahkan pembubaran Parlimen.
Melihat kepada isu PRU, mari kita imbas kembali PRU ke-12 (2008). Berikut merupakan kronologi penting dalam PRU ke-12. Parlimen dibubarkan pada 13 Februari 2008 diikuti Hari Penamaan Calon pada 24 Februari 2008 dan PRU ke-12 diadakan pada 8 Mac 2008. Kabinet baru diumumkan pada 18 Mac 2008. Keputusan SPM 2007 pula diumumkan pada 12 Mac 2008. Melihat kepada kronologi di atas, keputusan SPM 2007 diumumkan ketika rakyat masih lagi tertanya-tanya siapakah yang bakal mengisi tampuk pemerintahan.
Cuba kita imbas kembali pula PRU ke-11 (2004). Parlimen dibubarkan pada 4 Mac 2004 diikuti Hari Penamaan Calon sembilan hari kemudian dan PRU ke-11 diadakan pada 21 Mac 2004. Kabinet baru diumumkan pada 27 Mac 2004. Keputusan SPM 2003 diumumkan pada 28 Februari 2004, beberapa hari sebelum Parlimen dibubarkan.
Untuk PRU ke-10 (1999), tidak dapat dipastikan bila Parlimen dibubarkan, tarikh penamaan calon serta tarikh kabinet diumumkan, namun PRU ke-10 berlangsung pada 29 November 1999 sehingga saya difahamkan, SPM yang sedang berlangsung ketika itu terpaksa ditangguhkan.
Jika dilihat dari PRU ke-10 hingga PRU ke-12, SPM dan PRU seperti tidak dapat dipisahkan. PRU ke-10, SPM ditangguhkan. PRU ke-11, keputusan SPM diumumkan beberapa hari sebelum Parlimen dibubarkan. PRU ke-12, keputusan SPM diumumkan sebelum rakyat mengetahui siapakah yang akan mengisi tampuk pemerintahan.
Dari sudut 10 tahun ke belakang (2003-2012), berikut merupakan tarikh keputusan SPM:
Keputusan SPM 2002 diumumkan pada 26 Februari 2003 (Rabu)
Keputusan SPM 2003 diumumkan pada 28 Februari 2004 (Sabtu)
Keputusan SPM 2004 diumumkan pada 10 Mac 2005 (Khamis)
Keputusan SPM 2005 diumumkan pada 13 Mac 2006 (Isnin)
Keputusan SPM 2006 diumumkan pada 12 Mac 2007 (Isnin)
Keputusan SPM 2007 diumumkan pada 12 Mac 2008 (Rabu)
Keputusan SPM 2008 diumumkan pada 12 Mac 2009 (Khamis)
Keputusan SPM 2009 diumumkan pada 11 Mac 2010 (Khamis)
Keputusan SPM 2010 diumumkan pada 23 Mac 2011 (Rabu)
Keputusan SPM 2011 diumumkan pada 21 Mac 2012 (Rabu)
Jika kita lihat dari kekerapan tarikh keputusan SPM dikeluarkan, hanya dua kali keputusan SPM dikeluarkan pada bulan Februari. Dan selebihnya di bulan Mac. Walaubagaimanapun, ada yang mengatakan bahawa keputusan SPM akan dikeluarkan beberapa hari selepas keputusan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dikeluarkan atau Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM). Dan kita semua mengetahui bahawa keputusan STAM dikeluarkan pada 26 Januari 2012. Jadi, khabar angin mengenai keputusan SPM dikeluarkan pada bulan Februari semakin bertiup kencang.
Secara peribadinya, tak perlulah kita wujudkan polemik mengenai bilakah keputusan SPM akan dikeluarkan. Sama ada kita suka ataupun tidak, keputusan tersebut tetap akan dikeluarkan. Nasihat saya, berdoa dan terus berdoa agar calon SPM 2012 mendapat keputusan yang diingini.
05 Februari 2013
Langgan:
Catatan (Atom)