06 Februari 2013

Biasiswa

Assalamualaikum semua.

Sedang saya bertweet dengan rakan-rakan. Tiba-tiba, muncul isu JPA (Jabatan Perkhidmatan Awan) kini tidak lagi mengeluarkan biasiswa kepada rakyat Malaysia. Memandangkan isu ini juga mungkin akan mencetuskan polemik dalam kalangan pelajar, saya telah mencari beberapa artikel berkaitan biasiswa JPA.

Menurut laman web JPA, JPA menawarkan beberapa tajaan kepada para pelajar seperti:
1. Biasiswa Yang Di-Pertuan Agong
2. Program Pelajar Cemerlang
3. Program Penajaan ke Universiti Perdana
4. Program Ijazah Dalam Negara
5. Program Kejuruteraan di Negara Bukan Berbahasa Inggeris
6. Program Biasiswa Politeknik.

Selain itu, JPA juga menyediakan kemudaha pinjaman pelajaran kepada pelajar seperti Skim Yuran Pengajian Luar Negara. Perbezaan biasiswa dan pinjaman adalah seperti berikut:

Biasiswa - Pelajar yang menerima penajaan dalam bentuk biasiswa dikehendaki berkhidmat dengan kerajaan untuk suatu tempoh yang dipersetujui dan mereka boleh dilepaskan dari ikatan kontrak sekiranya kerajaan tidak dapat menyediakan kerja dalam tempoh 12 bulan selepas pelajar melaporkan diri di JPA atau mereka membayar ganti rugi kepada kerajaan mengikut jumlah yang ditetapkan dalam perjanjian.

Pinjaman - Kemudahan pinjaman pelajaran disediakan bagi pengajian di luar negara sahaja. Pelajar yang menerima pinjaman dikehendaki membayar balik jumlah pinjaman sebenar mereka selepas menamatkan pengajian. Bayaran boleh dibuat secara ansuran dan pinjaman ini tidak dikenakan sebarang faedah.

*Untuk maklumat lanjut mengenai biasiswa dan pinjaman JPA: http://www.jpa.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=1443:kemudahan-penajaan-dan-pinjaman-bagi-pelajar&catid=59

Biasiswa JPA berbeza dengan Biasiswa Nasional. Biasiswa Nasional ialah biasiswa yang diberikan oleh kerajaan, juga melalui JPA kepada 50 pelajar terbaik Malaysia dalam SPM. Mengenai isu biasiswa JPA yang kini tidak ditawarkan kepada umum, sebenarnya JPA kini tidak memberi penajaan kepada mana-mana pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan dengan alasan kerajaan telah mengatakan bahawa doktor di Malaysia telah pun cukup. Dan MARA juga menghentikan pemberian biasiswa kepada pelajar perubatan dengan alasan yang sama.

Walau bagaimanapun, pemberian biasiswa untuk para pelajar sering berbeza dari tahun ke tahun. Hal ini demikian kerana, penaja-penaja akan mengambil langkah selamat untuk menaja pelajar-pelajar yang dikehendaki. Saya difahamkan, dulu penaja-penaja memberikan biasiswa dengan melihat keputusan SPM pelajar. Namun kini, melihat kepada trend semakin ramai pelajar yang pandai, penaja-penaja akan menaja mereka ke mana-mana pusat persediaan dan sekiranya mereka mencapai keputusan yang diingini, baru biasiswa akan diberikan seterusnya pelajar tersebut dapat belajar di luar negara ataupun di dalam negara. Tetapi, sekiranya pelajar tersebut kandas di pusat persediaan, sesetengah penaja akan meminta gantirugi dan sesetengah penaja yang lain akan memberikan peluang kedua kepada mereka.

Hakikatnya, pemberian biasiswa kepada pelajar bukanlah mudah. Mereka perlu menapis pelajar yang ingin mendapatkan biasiswa mereka supaya tidak merugikan mereka di kemudian hari. Situasi ini bertambah teruk dengan ibu bapa yang pendapatan sebulannya mencecah RM 30000, tetapi ingin mendapatkan biasiswa. Saya difahamkan, sekiranya lepasan SPM gagal mendapat A+ untuk matapelajaran Sejarah, JPA tidak akan melayan permohonan mereka untuk mendapatkan biasiswa JPA.

Setelah mendapat biasiswa, para pelajar perlu ingat, pemberian biasiswa itu merupakan amanah dari penaja mereka. Sekiranya pelajar tersebut tidak dipercayai oleh penaja mereka, mustahil mereka akan memberikan biasiswa kepada pelajar tersebut. Akhirulkalam, biasiswa bukanlah mudah untuk didapati, hargailah ia apabila sudah menerimanya.

05 Februari 2013

Keputusan SPM

Assalamualaikum semua.

Seperti semua sedia maklum, SPM 2012 telah dijalankan mulai 5 November 2012-6 Disember 2012. Menurut Lembaga Peperiksaan Malaysia, jumlah calon SPM 2012 ialah seramai 472541 calon yang akan menjawab di 3590 pusat peperiksaan di seluruh negara. Calon-calon SPM 2012 ini terdiri daripada calon sekolah kerajaan, bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan seramai 415,530 calon, manakala 7,708 calon daripada sekolah di bawah agensi kerajaan selain kementerian dan 7,946 calon daripada sekolah menengah agama negeri. Selain itu, seramai 11,309 calon sekolah swasta yang berdaftar dengan kementerian, 28,148 calon sekolah menengah agama rakyat dan 1,900 calon persendirian akan turut menduduki SPM 2012.

Setelah SPM berlalu, saat menanti keputusan merupakan saat yang agak mendebarkan. Ketika menunggu keputusan tersebut, ada dalam kalangan calon SPM 2012 yang bekerja secara sambilan, menjalani PLKN mahupun duduk di rumah sahaja. Namun, wujud khabar angin dalam media sosial seperti Facebook dan Twitter mengenai tarikh sebenar keputusan SPM akan dikeluarkan. Ada yang mengatakan keputusan SPM akan keluar pada bulan Januari. Malangnya, kita kini di bulan Februari dan ternyata, itu hanya khabar angin.

Ada juga yang mengatakan, keputusan SPM akan keluar pada bulan Februari bagi memudahkan pelajar Tingkatan 6 menghabiskan silibus dengan lebih awal. Memandangkan Pilihan Raya Umum ke-13 yang semakin hampir, ada yang mengandaikan keputusan SPM akan keluar awal bagi memudahkan pembubaran Parlimen.

Melihat kepada isu PRU, mari kita imbas kembali PRU ke-12 (2008). Berikut merupakan kronologi penting dalam PRU ke-12. Parlimen dibubarkan pada 13 Februari 2008 diikuti Hari Penamaan Calon pada 24 Februari 2008 dan PRU ke-12 diadakan pada 8 Mac 2008. Kabinet baru diumumkan pada 18 Mac 2008. Keputusan SPM 2007 pula diumumkan pada 12 Mac 2008. Melihat kepada kronologi di atas, keputusan SPM 2007 diumumkan ketika rakyat masih lagi tertanya-tanya siapakah yang bakal mengisi tampuk pemerintahan.

Cuba kita imbas kembali pula PRU ke-11 (2004). Parlimen dibubarkan pada 4 Mac 2004 diikuti Hari Penamaan Calon sembilan hari kemudian dan PRU ke-11 diadakan pada 21 Mac 2004. Kabinet baru diumumkan pada 27 Mac 2004. Keputusan SPM 2003 diumumkan pada 28 Februari 2004, beberapa hari sebelum Parlimen dibubarkan.

Untuk PRU ke-10 (1999), tidak dapat dipastikan bila Parlimen dibubarkan, tarikh penamaan calon serta tarikh kabinet diumumkan, namun PRU ke-10 berlangsung pada 29 November 1999 sehingga saya difahamkan, SPM yang sedang berlangsung ketika itu terpaksa ditangguhkan.

Jika dilihat dari PRU ke-10 hingga PRU ke-12, SPM dan PRU seperti tidak dapat dipisahkan. PRU ke-10, SPM ditangguhkan. PRU ke-11, keputusan SPM diumumkan beberapa hari sebelum Parlimen dibubarkan. PRU ke-12, keputusan SPM diumumkan sebelum rakyat mengetahui siapakah yang akan mengisi tampuk pemerintahan.

Dari sudut 10 tahun ke belakang (2003-2012), berikut merupakan tarikh keputusan SPM:
Keputusan SPM 2002 diumumkan pada 26 Februari 2003 (Rabu)
Keputusan SPM 2003 diumumkan pada 28 Februari 2004 (Sabtu)
Keputusan SPM 2004 diumumkan pada 10 Mac 2005 (Khamis)
Keputusan SPM 2005 diumumkan pada 13 Mac 2006 (Isnin)
Keputusan SPM 2006 diumumkan pada 12 Mac 2007 (Isnin)
Keputusan SPM 2007 diumumkan pada 12 Mac 2008 (Rabu)
Keputusan SPM 2008 diumumkan pada 12 Mac 2009 (Khamis)
Keputusan SPM 2009 diumumkan pada 11 Mac 2010 (Khamis)
Keputusan SPM 2010 diumumkan pada 23 Mac 2011 (Rabu)
Keputusan SPM 2011 diumumkan pada 21 Mac 2012 (Rabu)

Jika kita lihat dari kekerapan tarikh keputusan SPM dikeluarkan, hanya dua kali keputusan SPM dikeluarkan pada bulan Februari. Dan selebihnya di bulan Mac. Walaubagaimanapun, ada yang mengatakan bahawa keputusan SPM akan dikeluarkan beberapa hari selepas keputusan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dikeluarkan atau Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM). Dan kita semua mengetahui bahawa keputusan STAM dikeluarkan pada 26 Januari 2012. Jadi, khabar angin mengenai keputusan SPM dikeluarkan pada bulan Februari semakin bertiup kencang.

Secara peribadinya, tak perlulah kita wujudkan polemik mengenai bilakah keputusan SPM akan dikeluarkan. Sama ada kita suka ataupun tidak, keputusan tersebut tetap akan dikeluarkan. Nasihat saya, berdoa dan terus berdoa agar calon SPM 2012 mendapat keputusan yang diingini.

04 Februari 2013

Pendidikan Percuma

Assalamualaikum semua.

Baru-baru ni, kita dikejutkan dengan isu PSY akan datang di Malaysia dengan bayaran RM 2 juta. Namun, isu itu terjawab apabila Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, Teng Chang Yeow mengatakan bahawa kedatangan PSY ke Malaysia ditaja oleh sebuah syarikat persendirian namun tidak memberitahu nama syarikat tersebut.

Link untuk ke artikel tersebut:
1. http://english.astroawani.com/news/show/bn-not-paying-for-psys-penang-performance-6156
2. http://www.astroawani.com/news/show/persembahan-psy-tidak-dibiayai-oleh-kerajaan-6158

Jadi, isu tersebut telah terjawab. Namun, bagi sesetengah orang di Malaysia yang tidak bersetuju dengan jumlah bayaran tersebut, mereka mengatakan bahawa 2juta itu lebih baik untuk pendidikan percuma. (Maaf tidak dapat memberikan bukti kerana tweet tersebut tidak dapat dikesan)

Pendidikan percuma. Isu ini telah lama timbul. Kita mulakan dengan bantahan terhadap PTPTN. Ada yang mengatakan bahawa PTPTN ini menindas penuntut universiti. Ada juga yang kata, kadar faedah untuk PTPTN sangat tinggi. Kemudian, ada yang kata, negara lain dah lama buat pendidikan percuma. Kita je belum buat lagi.

Pendidikan di Malaysia terbahagi kepada 2. Pendidikan dibawah 18tahun dan pendidikan melebihi 18tahun. Pendidikan dibawah 18tahun merangkumi pendidikan di prasekolah, pendidikan di sekolah rendah dan pendidikan di sekolah menengah. Tidak perlulah saya jelaskan dengan lebih lanjut mengenai pendidikan ini. Pendidikan melebihi 18tahun merangkumi politeknik, kolej komuniti dan universiti.

Untuk pendidikan di sekolah rendah dan menengah, kerajaan bersetuju untuk memansuhkan Yuran Khas. Setelah beberapa tahun Yuran Khas dimansuhkan, kerajaan juga bersetuju untuk memansuhkan Yuran SUWA. Jadi, yuran yang dibayar oleh ibubapa di sekolah-sekolah rendah dan menengah ialah Yuran PIBG dan Yuran Asrama. Malah, untuk buku-buku teks, kerajaan meluaskan Skim Pinjaman Buku Teks kepada semua murid di Malaysia. Untuk ibubapa yang kurang berkemampuan dan anak-anak mereka terpilih ke SBP, kerajaan mewujudkan Program Khas dan Biasiswa Kecil Persekutuan. Malah, baru-baru ini, kerajaan memberi RM100 kepada semua murid di Malaysia menerusi Bantuan Awal Persekolahan.

Untuk pendidikan di universiti, kerajaan menyedari bahawa kos untuk seseorang melanjutkan pelajaran sangat mahal. Jadi, kerajaan mewujudkan PTPTN. Malah, sekiranya anda mendapat ijazah kelas pertama, PTPTN anda akan menjadi biasiswa. Saya tak dapat untuk mengulas lanjut mengenai PTPTN kerana saya masih lagi belum lagi menjejakkan kaki ke menara gading.

Pada pendapat saya, kerajaan belum lagi mewujudkan pendidikan percuma kerana kerajaan juga menanggung pelbagai subsidi seperti perubatan, barang keperluan dan sebagainya. Mungkin dalam 20-30tahun akan datang, kerajaan akan melaksanakan pendidikan percuma. Bersabarlah.

29 Januari 2013

Re-Blog.

Assalamualaikum dan salam 1Malaysia.

Sebenarnya, tak terfikir pun nak berblog balik. Tapi, atas desakan pelbagai pihak, saya wujudkan kembali blog ini. Lagipun, saya dah habis sekolah. Jadi, tiada masalah untuk berblog 24 jam sehari, 7 hari seminggu.

Pengikut

Powered By Blogger